
koperasimalaysia.com : Saluran Informasi Alternatif Gerakan Koperasi kini memulakan perjalanan baharu bermula Jun 2022 ini. Pasukan Ehwal Koperasi bersetuju untuk menghidupkan semula portal berita koperasi ini bagi memudahkan para koperator mendapat informasi alternatif mengenai gerakan koperasi.
Pasukan ini terdiri daripada mantan Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang pernah berkhidmat di kawasan parlimen masing-masing satu ketika dahulu sebagai mengisi masa lapang dan cuba membantu koperasi terutamanya koperator atau sesiapa sahaja yang berminat mendapatkan informasi alternatif terkini gerakan koperasi negara.
Dulu sebagai pegawai kerajaan, kini sebagai aktivis koperasi. Namun semangat berkawan dan berpasukan bersama gerakan koperasi tetap utuh umpama semangat Keluarga Malaysia yang kini mekar dijiwa setiap warganegara.
Menurut Hamlay, selaku warga pencen perasaan bersama untuk terus berkhidmat masih mekar dan sentiasa bersemangat. Selain seronok berjumpa rakan-rakan terutama di Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia dan Angkasa. Kami sering bertukar maklumat dan sering mendapat permintaan daripada masyarakat diluar untuk membantu mereka mengenai koperasi terutama penubuhan koperasi.
Seronoknya di gerakan koperasi ramai warga berusia dan muda bersama-sama menjayakannya. Dahulu koperasi hanya sinonim disertai oleh golongan berusia tetapi kini tidak lagi. Kesedaran mengenai gerakan koperasi kini makin hari makin meningkat. Ini dapat dilihat daripada penglibatan warga muda dalam sesebuah koperasi. Gerakan Koperasi Malaysia itu sendiri sudah berusia 100 tahun dan anggotanya mencecah 7 juta orang seluruh negara.
Mengenai Projek koperasimalaysia.com ini merupakan projek lama dijalankan oleh Koperasi PEK. Koperasi ini kami tubuhkan dahulunya untuk menghimpunkan semua rakan sejawatan yang berkhidmat di setiap kawasan parlimen satu ketika dulu. Kini projek ini dihidupkan semula dan diletakkan dibawah Malaysian Cooperative Action Council (MCAC), sebuah badan NGO gerakan koperasi yang merupakan sebuah sayap dibawah Malaysian Chamber of Entreprenuer Business Development (MCED).
Apabila berjumpa semula rakan-rakan banyak informasi atau maklumat terkini yang diperolehi dan kami seronok berkongsi cerita mengenai gerakan koperasi sesama kami. Itulah yang menjadi titik tolak kami menghidupkan semula portal berita koperasimalaysia.com ini. Semoga maklumat alternatif ini dapat membantu koperator diseluruh negara.